"Giliran si Ali pula yang mendirikan rumahtangga. Awak, bila lagi?"
Hehehe. Ini persoalan paling umum sekali kita dengar bila kawan rapat mahupun saudara mara terdekat kita mula mendirikan rumahtangga. "Awak, bila lagi?" InshaaAllah, dengan izinNya. Rasanya tiada orang yang tidak ingin bertemu dengan jodohnya. Cuma cepat atau lambat sahaja. Bicara tentang soal jodoh, kita kadang kala tidak sangka dengan takdir dan pertemuan yang telah diaturkan dengan cukup sempurna oleh Sang Pencipta.
Ada yang baru terjumpa sekali terus terjatuh hati. Alhamdulillah, dengan perkenalan singkat telah membawa ke perhubungan yang halal. Ada yang mula bercinta selepas nikah, masih juga tetap meraih bahagia setelah dijodohkan oleh kedua ibu dan bapa. Ini semua tidak kita jangka. Kata orang, jodoh itu rahsia Allah. Terkadang datang tanpa diundang, namun yang tak diundang itu jugalah dengan secara tiba-tiba dipilih untuk menjadi tetamu tetap di hati kita.
Tetapi bagaimana pula kita nak tahu dia memang ditakdirkan untuk kita? Menerusi pembacaan 10 Petanda Dia Jodoh Kita oleh
Mya Zullkifli, aku akui apa-apa yang disenaraikan oleh penulis boleh menjadi antara beberapa tanda aras untuk kita lebih mengenali pasangan. Tetapi,
AWAS! Antara salah satu kesilapan besar yang berlaku ialah apabila kita terlalu terburu-buru untuk berkahwin tanpa benar-benar teliti dalam mengenali sikap sebenar pasangan.
Panjang sangat lah pulak mukadimahnya. Hahah! Okey, sebenarnya aku nak beritahu semoga kita semua yang bujang-bujang ini tidak tersilap dalam memilih pasangan hidup. Bila kita rasa dia jodoh kita, selidik dulu latar belakang si dia. Rajin-rajin bertanya pada ahli keluarga dan juga sahabat terdekat tentang sikap dan layanannya terhadap ibu bapa dan juga orang sekeliling. Sebab apa? Sebabnya supaya tidak timbul isu penyesalan di kemudian hari....
Banyak kes penceraian dan juga pergaduhan antara suami dan isteri berlaku disebabkan sikap dan perubahan perangai pasangan setelah berkahwin. Antaranya memiliki sikap baran yang melampau, mempunyai rasa tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga, seorang pemarah dan suka melempiaskan kemarahannya terhadap orang lain serta banyak lagi. Oleh itu, sekiranya korang sedang berada dalam tempoh "mengenali seseorang", beberapa panduan di bawah bolehlah dijadikan sebagai nasihat/rujukan mengenai apa-apa yang perlu dicari atau dijauhi.
1. Pilih sikap melebihi keserasian - Sifat, watak dan peribadi seseorang terhadap orang sekeliling kebiasaannya menggambarkan siapa diri mereka yang sebenarnya. Memanglah keserasian dan daya tarik seseorang itu punca utama kita menyukai mereka, namun sikap melebihi kedua-duanya. Bak kata orang putih, chemistry ignites the fire but character keeps it burning! Antara sifat yang boleh dititikberatkan ialah merendah diri (bersederhana, tidak cepat marah, menjauhi materialisma), kebaikannya terhadap keluarga dan orang lain, bertanggungjawab dalam aspek kewangan, pekerjaan, hubungan, sikap yang stabil serta merasa cukup dengan kebahagian sedia ada (jenis tak merungut).
2. Tidak mengabaikan keperluan emosi - Lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai keperluan emosi bagi saling melengkapi. Asas keperluan emosi lelaki adalah untuk dihormati dan dihargai manakala wanita, adalah untuk dicintai. Kelak apabila berkahwin, antara aspek yang perlu ditekankan supaya hubungan kekal mesra ialah perhatian, kasih sayang, penghargaan, kehormatan dan kepastian dalam hubungan. Sejauh mana agaknya sesuatu perhubungan itu dapat bertahan sekiranya si isteri hilang hormat kepada suaminya? Fikir-fikirkan.
3. Jauhi arah tuju hidup bertentangan - Sebelum kita pilih sesiapa yang kita ingin bawa dalam sebuah pengembaraan, kita sendiri harus tentukan destinasi kita terlebih dahulu. Kita perlu menakrifkan nilai-nilai, kecenderungan, kepercayaan serta gaya hidup sendiri sebelum kita menakrifkan kecenderungan pasangan kita. Saling menghormati kesukaan dan kecenderungan pasangan walaupun berbeza minat akan membawa kepada perkongsian hidup yang lebih harmoni dan bahagia. Walaupun tidak jumpa pasangan yang sehati sejiwa, tetapi kita tahu kita telah memilih pasangan hidup yang boleh dibawa untuk hidup bersama bukan sementara.
4. Jauhi kekurangan hubungan emosi - Korang perlu jawab YA untuk soalan-soalan berikut. Adakah anda menghormati dan mengagumi si dia? Adakah anda mempercayai si dia? Adakah anda berasa selamat dengannya? Adakah anda berasa tenang dan damai apabila bersama dengan si dia? Jika jawapannya tidak tahu/tidak pasti dan lain-lain, teruskan menilai sehingga benar-benar pasti sebab kalau korang tidak mula percaya sekarang, jawapan tu mungkin takkan berubah walaupun selepas korang berkahwin.
5. Berjaga-jaga untuk tidak mengelak dari tanggungjawab peribadi - Yang ni simple aje penerangannya. Kira macam, korang kenalah bahagiakan diri sendiri dulu. Janganlah sebab korang rasa hidup masa bujang tak bahagia, korang tak suka arah tuju hidup nak ke mana atau tidak suka diri sendiri, teruss, korang jadikan alasan dengan berkahwin ni dapat mengubah semua benda tu. No no no.. Jangan bergantung harap pada pasangan untuk memberi kebahagiaan dan menjadikan hidup korang lebih baik dan sebab tu lah korang berkahwin. Silalah bertanggungjawab terhadap diri korang buat masa ni dan baiki perkara-perkara tersebut sebelum berkahwin. Jangan terbawa-bawa pulak nanti ke dalam perkahwinan.
Macam banyaklah pulak nak taip kan. Entry kali ni terlebih panjang. Maaflah bagi sesiapa yang ingin baca tapi terlalu panjang untuk dibaca. Hehe. Saya ni budak masih belajar. Bukan juga yang pakar serta arif. Cuma sama-sama ingin belajar dan mencari yang terbaik buat diri sendiri. Semoga korang semua dikurnia bakal zauj yang soleh. Misi pencarian telah bermula! **hihi sempat lagi**